Isnin, Mei 18, 2009

Disiplin Membentuk Kejayaan


Sesiapa pun pada mulanya berminat memahami isu agama dan cuba untuk mendalaminya, tapi akhirnya lari dan menyepikan diri kerana sikap ditunjukkan 'pendakwah awam' atau umat Islam yang tidak bijak membicarakan ilmu agama. Nabi Muhammad SAW pernah berpesan kepada Muaz bin Jabal dengan sabda yang bermaksud:

"Permudahkanlah orang dan janganlah kamu menyusahkan mereka! Gembirakanlah orang dan janganlah membuatkan mereka lari daripada kamu." (Hadis riwayat al-Bukhari)


Istilah 'memudahkan' serta 'menggembirakan' orang yang ingin mengenali Islam, disuruh Nabi SAW kepada umatnya. Dan tidak hairanlah dalam masa kurang daripada 100 tahun risalah dakwah yang dibawa Nabi Muhammad SAW sudah berkembang di benua timur dan barat, melepasi batas budaya dan sempadan negara.

Bagi menghasilkan natijah terbaik pada diri individu Muslim yang ingin menjadikan dirinya sebagai seorang yang berjaya, ada beberapa faktor penting yang perlu dikaji antaranya:

  1. Memperbaiki diri dan mendidik jiwa ke arah iman dan takwa. Seseorang itu akan menyeru orang lain menerusi perbuatannya terlebih dulu sebelum dinilai melalui tutur perkataannya. Perkara itu ditekankan kerana ia senjata paling penting daripada sudut penilaian manusia di persekitarannya.
  2. Ia juga perlu membersihkan jiwanya daripada sifat mazmumah seperti angkuh, sombong, ego, penakut, bakhil, malas dan pendendam. Jika tidak dikikis segala ia pasti mengundang keburukan pada wajah Islam itu sendiri yang menjadi cerminan pada diri berkenaan.
  3. Perlu memperlengkapkan diri dengan ilmu syariat secukupnya. Ilmu syariat mempunyai peringkat, tahap berbeza dan perlu diambil oleh mereka menurut kemampuan akal seperti sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

"Barang siapa yang dikehendaki Allah dengan kebaikan nescaya dia akan diberikan kefahaman oleh Allah dalam urusan agamanya." (Hadis riwayat al-Bukhari)

  1. Memastikan juga perlu mempelajari kemahiran berkomunikasi dengan masyarakat sekeliling tanpa mengira usia, budaya, agama, pangkat dan etnik. Kemahiran itu penting bagi membina hubungan baik dengan mereka serta menjadi peribadi disukai ramai.
  2. Mempelajari kemahiran berdakwah melalui cara terbaik semasa berinteraksi dan berkomunikasi, dialog semasa, memberi kesan kepada pendengar, menarik minat mereka untuk terus mendengar dan isu yang diutarakan sesuai dengan tajuk semasa.
  3. Mempelajari cara dan teknik terkini yang lebih mantap dengan penuh kesungguhan supaya tidak terus ketinggalan. Segala bentuk maklumat terbaru diperlukan untuk memudahkan penyampaian mesej Islam kepada orang ramai.
  4. Sumber lain yang perlu ada pada diri ialah dengan mempelajari dari orang lain yang lebih maju dan profesional. Mereka sepatutnya mempunyai banyak jaringan dan mampu bersahabat dengan ulama serta orang terkenal lain.
  5. Mereka juga perlu berkongsi dalam aktiviti yang membentuk jatidiri dan melatih diri ke arah pencapaian lebih baik dari masa kesemasa.


Apa yang perlu diteliti sebelum turun di medan sebenar ialah menilai tahap kemampuan orang yang ditujukan dan ingin disampaikan mesej. Setiap manusia mampu untuk menjadi yang terbaik menurut kemampuan dan kebolehan dianugerahkan Allah kepadanya. KIta perlu bersikap dengan lebih berhati-hati dalam percubaan menyampaikan ilmu-ilmu dan kesemua ini dapat dicapai melalui latihan berterusan dan berkesinambungan serta penuh kesungguhan mengikut keupayaan termampu.

0 comments:

All Rights Reserved Copyright©. oleh : www.shakirshafiee .blogspot.com