Khamis, Mei 14, 2009

Khinzir Menganas


Adakah dunia akan aman tanpa khinzir?

Sebelum kita melangkah lebih jauh, baik kita selidiki bagaimana soalan ini boleh timbul. Adakah kerana baru-baru ini dunia dikejutkan dengan penyebaran influenza A (H1N1)? Sekali lagi ingin dibawa maklumat daripada WHO bahawa, pada waktu ini, tiada jangkitan virus yang berlaku daripada khinzir kepada manusia. Malah, dilaporkan di Kanada, manusia sendiri yang telah membawa virus ini kepada ternakan khinzir. Jadi, apa yang boleh disimpulkan untuk tempoh masa ini ialah penyebaran wabak ini datangnya daripada manusia, kepada manusia. Maka, perlukah kita menuding jari kepada haiwan ini sahaja, seolah-olah mereka lah punca utama pembawakan virus ini?

Kerajaan Mesir dan Iraq telah mengambil langkah mudah dengan menghapuskan sebilangan haiwan ini supaya wabak tersebut tidak akan singgah di negara mereka. Akhirnya tindakan ini dipersoalkan oleh WHO.

Jika begitu, apakah lagi? Mengapakah perlunya dikaitkan ‘keamanan dunia' dan ‘khinzir'? Sedangkan sebelum ini, peperangan banyak terjadi antara manusia, dan ianya berlaku di atas muka bumi ini. Adakah dengan meletusnya peperangan, dunia menjadi aman? Tentu tidak! Penindasan dan penghapusan terhadap sekelompok kaum natif atau etnik di sesebuah kawasan, adakah itu namanya keamanan? Apakah namanya keamanan jika ada yang menderita dan terseksa di saat si penguasa bermaharajalela? Jika mahu dikaitkan dengan keamanan dunia sejagat, banyak lagi perkara yang perlu difikirkan, bukan hanya melibatkan sekumpulan haiwan yang kebiasaannya selsema babi ini bermula daripada mereka.

Penciptaan dan kejadian khinzir sebagai makhluk Tuhan di atas bumi ini bukanlah sesuatu yang sia-sia. Hal ini adalah kerana semua ciptaan-Nya ada kelebihan dan kegunaannya yang tersendiri. Kita sebagai manusia, sememangnya perlu sedar akan apa tanggungjawab kita di atas muka bumi ini. Kita diperintahkan oleh Pencipta kita Yang Maha Satu, untuk mentadbir dan menjaga alam sebaik yang mungkin. Manusia sebagai makhluk yang dikurniakan dengan akal yang sempurna, perlu menggunakan nikmat tersebut dengan sebaik yang mungkin.

Mata digunakan untuk melihat dan otak akan mentafsir setiap inci penglihatan kita. Telinga digunakan untuk mendengar. Tangan, kaki dan setiap anggota badan manusia, punyai kegunaannya yang tersendiri dan perlu untuk dikawal penggunaannya oleh individu tersebut. Mengapa? Kerana dari tangan dan kaki manusia lah alam ciptaan Tuhan kini berada di ambang bahaya. Pencemaran alam dek tangan yang tidak berusaha untuk memeliharanya dengan baik. Penipisan ozon, di mana punca utamanya ialah pembebasan kloroflorokarbon (CFC) sehingga terbentuknya ‘lubang ozon' di Antartika sekitar tahun 1985. Tidak ketinggalan juga, dengan adanya ilmu dan penggunaan teknologi yang tidak terkawal, manusia sendiri yang menanggung akibat, seperti penyakit selsema babi ini.

Dinyatakan di dalam surah Al-Imran, ayat 191.

(Iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi, seraya berkata "Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia; Maha Suci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka.



Melalui ayat ini jelas menunjukkan bahawa mereka yang benar-benar memerhatikan apa yang ada di sekeliling mereka, mahupun apa yang ada pada mereka, akan mengakui kebesaran Penciptanya. Sekaligus, mereka akan menghargai dan berusaha untuk memelihara.

Sumber IluvIslam.com.

0 comments:

All Rights Reserved Copyright©. oleh : www.shakirshafiee .blogspot.com